Tuesday, April 8, 2008

Hikayat Nakoda dan Bahtera

Tersebutlah kisah di Negeri Antah Berantah, terdapat seorang nakhoda bahtera yang sangat mashyur namanya di serata pelusuk benua, kerana bahteranya amatlah besar adanya, warisan zaman-berzaman. Diceritakan bahawa bahteranya sangat besar, andaikata dihimpunkan semua bahtera di negeri itu, nescaya masih tidak dapat menandingi kebesaran bahteranya itu. Adapun bahtera itu diperbuat orang berdagang, maka teramatlah berharta nakhoda itu kerana kepercayaan orang berdagang menaiki kapalnya.

Arakian, tersebutlah kisah nakhoda tersebut ada seorang puteri yang sangat rupawan, tiada bandingan di zaman itu. Maka sampailah seru puteri nakhoda itu berkahwinlah dia dengan seorang pemuda yang amat tampan dan berkarisma. Disebut-sebut pemuda itu bakal mengganti bapa mertuanya.

Setelah genap setahun adanya, maka belayarlah nakhoda itu membawa bersama menantunya yang kurang arif ilmu pelayaran. Namun, nakhoda itu beranggapan menantunya itu amat cekap mentadbir pelayaran, lantas diberikan kemudi kepada menantunya untuk dikemudikan. Nakhoda itu terus berehat di kamar tidurnya.

Maka, takdir ALLAH Azza Wa Jalla, lautan tenang bertukar ganas, ombak bergulung-gulung menghempas bahtera, ribut pula semakin kuat. Namun, ini bukan pertama kali bahteranya dilanda bencana. Nakhoda terdahulu jua pernah dipukul ribut yang amat dahsyat. Walaubagaimanapun, takdir ALLAH Ta'ala bahtera itu tetap kukuh dan utuh kerana diperbuat oleh orang yang banyak sakti.

Ini bahtera bukan sebarang bahtera,
bahtera karangan Anak Cucu Hassan dan Hussein,
Layarnya sulaman benang emas dari Pasai,
Lantainya dari kayu jati puncak Yunnan,
Dindingnya berasal dari kayu firus,
asalnya kayu bahtera Nuh,
Bersepuh besi tujuh luk tujuh gunung,
dihiasi dengan ayatul quran kalamullah,
mendindingi bahtera dari marabahaya,
Warisan petanda keagungan bangsa.

Adapun menantu nakhoda ini bukanlah orang yang arif, tetapi dia enggan mengakui kelemahannya, kerana kesombongon dirilah jua. Dikhabarkan pula nakhoda amat mempercayai anak menantunya kerana amat baiklah gayanya di pandangan bapa mertuanya. Adapun kelasi kapal ini semuanya terlalu patuh arahan nakhoda, teramat setia dan turuti arahan nakhoda. Andai disuruh mati pun mereka sanggup mati kecuali seorang.

Kelasi ini bukan sebarang,
Kelasi keturunan nakhoda terdahulu,
Berguru jauh ke atas angin,
Warisi karisma bapanya.

Pabila tersedar akan datangnya ribut, lantas terjagalah nakhoda dari lenanya yang panjang. Dititahkan kepada semua kelasi,"wahai kelasiku sekalian, telah datangnya bencana kepada sekalian kita, janganlah sekalian takut, kerana menantuku orang yang bijaksana. Aku serahkan tugas mengemudi bahtera ini kepada menantuku." Nakhoda yakin sepenuhnya kepada menantu lantas baginda menyambung kembali lenanya.

Menantu yang sombong dan gilakan pangkat terus bersetuju walaupun dibantah pemuda tadi. Maka terjadilah perselisihan antara mereka, pecahlah kelasi kepada dua kelompok. Masing-masing ikut arahan pemimpin masing-masing. Arakian, berputarlah bahtera, sekejap ke kiri, sebentar ke kanan, adakalanya terundur kerana tiada kesepakatan dalam mengemudi bahtera.

Pedagang yang turut serta dalam ekspedisi menjadi kaget dengan situasi yang tidak pernah disaksikan.

Yang gemuk menghentak lantai,
Yang kurus memukul dinding,
Yang pendek bertempikan
Yang lemah bertempiaran,
Yang nakal membuat lubang...

Sudahlah berdepan dengan ribut, ditambah pula dengan perselisihan kelasi, disertakan pula pemberontakan rakyat... maka sang bahtera jadi gering...

Dipukul ombak ke kiri, pecah dua tiga papan,
Dipukul ribut ke tengah, tercabut layarnya,
Diterpa puing terangkatlah anjungnya,
Maka bertambah daif hendak keadaannya.

Dengan takdir ALLAH Azza Wa Jalla, berlabuhlah jua bahtera di Negeri Antah Berantah dengan keadaan yang amat daif, layaknya seperti bahan buangan berkayu hendaknya. Namun, nakhoda keluar dengan angkuhnya seraya berkata,"kemalangan kita disebabkan oleh ribut, oleh pemuda itu, oleh pedagang. Sahaya kenai menantu sahaya, baik orangnya. Saya tidak akan sekali-kali meletakkan jawatan sebagai nakhoda, kerana bahtera ini menjanjikan kejayaan buat sahaya dan keluarga."

Apakah yang akan berlaku kepada bahtera ini selepas ini? Adakah ianya boleh diperbaiki oleh nakhoda? Hanya ALLAH Ta'ala, tuhan seru sekelian alam yang lebih mengetahui...

Ini bahtera bukan sebarang bahtera,
bahtera karangan Anak Cucu Hassan dan Hussein,
Layarnya sulaman benang emas dari Pasai,
Lantainya dari kayu jati puncak Yunnan,
Dindingnya berasal dari kayu firus,
asalnya kayu bahtera Nuh,
Bersepuh besi tujuh luk tujuh gunung,
dihiasi dengan ayatul quran kalamullah,
mendindingi bahtera dari marabahaya,
Warisan petanda keagungan bangsa,
Bahtera keramat bernama Saka Bangsa...

No comments: