Friday, June 27, 2008

Bebaskan Akal daripada Kejumudan

Bicara soal akal, yang menjadikan manusia itu sebaik-baik kejadian di muka bumi. Dengan akal, maka wujudlah suatu institusi keilmuan di kalangan umat manusia keseluruhannya. Kerana akal itu diciptakanNYA untuk menyuruh manusia itu berfikir. Namun, sejauh mana manusia itu mampu berfikir, ianya pula dibataskan oleh ALLAH atas batasan-batasan tertentu. Lantaran ilmu yang manusia perolehi dengan menggunakan akal yang waras adalah cuma sekelumit atau setitis sahaja daripada lautan ilmu ALLAH Yang Maha Luas. Justeru itu, al-quran dan hadis diperlukan oleh ummat islam ahli sunnah wal jamaah sebagai rujukan bagi memastikan hidup sentiasa harmoni dan bahagia dalam menjalankan perintah sebagai hamba Allah dan juga Khalifah di muka bumi ALLAH ini.

Namun begitu, ramai orang tidak mahu berfikir sedalam-dalamnya dengan anugerah akal yang diberikan oleh ALLAH. Tidak ramai pula yang mahu mengeluarkan pemikiran dan pandangan melepasi kotak kecil yang diciptakan oleh mereka sendiri, walhal perkara itu masih boleh diperbetulkan dan dibincangkan dengan beberapa akal lain yang diciptakan oleh ALLAH. Kepelbagaian pemikiran ini penting bagi mendapatkan keputusan yang paling ideal. Disebabkan itu, Nabi junjungan kita mengesyorkan agar diadakan muzakarah atau perbincangan atas masalah atau isu yang timbul. Contohnya, peperangan Khandak atau parit dicadangkan oleh Salman Al-farisi dari Farsi, akhirnya muslimin memenangi perang tersebut dan orang kafir yang menyerang berundur kelaparan. Jadi, kotak kecil pemikira atau berfikir secara sempit perlu dijauhi dan untuk melepaskan diri daripada berfikir secara sempit, maka perbincangan perlu diadakan.

Antara percaya atau tidak, pemikiran kolot atau jumud ini masih lagi menjadi igauan ummat islam masa kini. Kita perlu lari daripada pemikiran sempit dan kolot supaya kemajuan dapat dicapai dengan penuh lestari. Laksana kebangkitan Meiji di Jepun, rakyat Jepun yang berfahaman Zen menentang pembangunan industri yang dibawa kerana takut agama nenek moyang mereka akan terjejas dan kehidupan mereka akan bertambah susah dengan kenaikan harga barang dan risaukan kekurangan makanan. Walaupun hasrat menakluk Asia gagal semasa perang dunia kedua, Jepun masih boleh bangkit semula dengan kewujudan pemikir-pemikir muda yang memperkembangkan ekonomi mereka dan tidak lagi berpegang kepada ajaran Zen 100%. Hari ini, masyarakat Jepun sudah senang lenang dengan kuasa beli yang tinggi dengan kesungguhan mereka untuk menjadi maju.

Lihat pula kesungguhan rakyat Korea Selatan yang muncul sebagai Negara Maju selepas terbabit dalam siri Perang saudara yang panjang dan jajahan daripada negara serantau seperti China, Jepun dan Russia (Soviet). Ini kerana mereka membuka skop pemikiran mereka daripada selalu mengalah kepada berdikari. Pemikiran positif perlu ada untuk bersaing dalam perebutan ekonomi dan mewujudkan kuasa beli yang besar bagi diri sendiri dan keluarga.

Melihat kepada perbentangan bajet RMK-9 fasa II, tidak mustahil pendapatan seisi rumah kita akan meningkat daripada RM 2000 kepada RM 5000 sebulan. Jika suami isteri bekerja, pendapatan RM 7000 - RM 10000 boleh dicapai sebulan. Dengan ini, kewujudan kuasa beli pariti akan meningkat seterusnya mewujudkan masyarakat Malaysia yang maju dan tidak lagi memakan dan memakai barangan murah, tidak berkualiti, beracun dan sebagainya. Peristiwa ini akan menjadikan rakyat Malaysia semakin sihat, dan dapat berfikir dengan rasional dan berdaya saing.

Rakyat Malaysia perlu berbangga dan berusaha sekuat-kuatnya, bukan hanya mengeluh dan mengalah. Kerana, islam sendiri menggalakkan ummatnya berusaha seperti akan hidup seribu tahun lagi, beribadat seperti akan mati pada keesokan hari. Jangan jadikan kekhuatiran (ketakutan) punca kegagalan kita, tetapi beranilah mengambil risiko untuk berjaya. Dalam mengharungi kejayaan, dugaan dan pengorbanan perlu dilakukan. Atas dasar ini, kerajaan yang memerintah sekarang sanggup mengorbankan kepimpinan popular walaupun sedar ramai opportunis akan memainkan agenda mereka untuk menghilangkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan. Namun, sedar atau tidak, langkah-langkah yang diambil boleh mempercepatkan proses transformasi kemajuan kepada Malaysia.

Cuba kita renungkan dan fikirkan bersama-sama. Apabila berjumpa dengan seorang pengemis yang sempurna tulang empat keratnya, kerana mahu melihat dia boleh teruskan hidup, kita mahu memberikan sedekah setiap hari untuk makanannya atau mencarikan dia kerja supaya dia boleh mendapat duit poket bulanan? Yang mana satu pilihan anda??

Apakah hak kita sebagai rakyat? Mendapat subsidi atau mendapat gaji yang tinggi?? Singkap kembali lipatan sejarah di mana tiada lagi orang islam yang layak menerima zakat (diberitakan sehingga ke Habsyah atau Etopia yang sekarang menderita kebuluran) semasa pemerintahan Saidina Umar Ibn Aziz. Bukankah kuasa beli pariti wujud dengan taraf hidup dan pendapatan semua orang yang tinggi??

Bagaimana Singapura dapat meningkatkan pendapatan seisi rumahnya? Dengan kewujudan gaji yang tinggi yang mampu diberi oleh majikan. Begitu jualah dengan pertumbuhan Negara maju yang lain.

Apakah pula tanggungjawab kita sebagai rakyat dalam membangunkan negara ini?? Cukai pendapatan Malaysia yang paling rendah?? Zakat pun ramai mengelak?? Apatah lagi Sedekah dan Amal jariah??

Adakah kita tidak mahu meneruskan sifat mahmudah yang ditunjukkan oleh nenek moyang kita dahulu sehinggakan Tanah ini bebas dari penjajah?? Apakah sifat Sabar yang menunjukkan bangsa kita kuat sudah berkubur dengan demonsrasi jalanan?? Apakah sifat syukur dan Redha sudah susut dan lenyap dari pegangan?? Mengapa tiada lagi tawadhu' dan rendah diri dalam jiwa-jiwa kita?? Lantaran akal yang semakin rosak??

Kembali kepada skop akal, bebaskan akal kita dari kejumudan, sepertimana Jepun boleh menyisihkan fahaman Zen, Korea boleh sisihkan sifat terlalu rendah diri, Eropah boleh bangkit dari Era kegelapan. Kita pula, mungkin boleh bangkit dengan praktikkan amalan-amalan mahmudah dan berfikiran jauh ke hadapan, bukan semata-mata berfikir untuk masa sekarang dan bersifat mazmumah...

Sekian, tutup perbincangan, sila beri pandangan agar kuasa akal kita dapat dibelaukan ketahap maksimum. Amin...

3 comments:

Letting the time pass me by said...

Suatu posting yang menarik...

Memang benar, hakikatnya akal manusia amat terbatas, apa yang mampu difikirkan oleh manusia hanyalah apa yang diizinkan oleh Allah...

Rasullullah dikurniakan Allah dengan kebijaksanaa sesuai dengan tuganya sebagai Rasul Allah... begitu juga Rasul-rasul yang lain...

Apa-apa yang mampu kita fahami hanyalah dengan izin Allah jua...

Wallahu'alam

Skullsplitter said...

Bila akal yang diberi tidak digunakan sebaik mungkin, ini yang membataskan pemikiran dimana akal yang diberi digunakan untuk membenarkan perkara yang salah. Dimana pula perginya penilaian bagi akal kita membenarkan perkara yang baik. Disini tampak ketandusan berfikir dengan lebih waras kerana kita sendiri membataskan pemikiran kita kepada sesuatu yang mampu kita fikirkan. Mengaji, kaji dan uji. Ini sebenarnya.

zamspotte said...

Letting the time pass me by: Hakikatnya, tidak seperti ciptaan yang lain, kebolehan akal memang meninggikan martabat manusia. Mengikut kajian, manusia cuma menggunakan kurang 3% daripada kebolehan akal yang sebenar. Untuk meningkatkan kebolehan minda, perlu selalu berdiskusi kerana, jika berfikir secara individu, maka sel-sel otak tidak dapat dicaskan dan jika terlalu banyak berfikir, boleh menjadi gila (ikut fakta). Oleh itu, bimbingan perlu ada dan perbezaan pendapat juga perlu untuk membetulkan yang silap, dan membetulkan pemikiran yang lain...

Skullsplitter:
Kewarasan berfikir itu wujud dengan panduan hidup beragama sebagai fitrah... Dengan mengamalkan quran dan sunnah (bukan sekadar mengaji sahaja), maka akan terbukalah pemikiran yang ideal...