Monday, February 18, 2008

Kata Orang Tua-tua...

Seperti apa yang kita ketahui, kata orang tua-tua merupakan kata-kata nasihat yang cukup lembut, cukup mendalam maksudnya. Namun, bagi saya, kata orang tua-tua bukan hanya kata nasihat, tetapi terlalu banyak perkara lain yang terkandung dalam setiap butir kata-kata tersebut. Contohnya, "jangan main di waktu maghrib, nanti tersampuk hantu" atau "jangan potong kuku di waktu malam, nanti mati jadi hantu kuku" dan "jangan main nyorok-nyorok maghrib-maghrib, nanti kena sorok dengan hantu tetek." Ungkapan jangan itu sendiri sudah memberikan satu maksud yang melarang, tetapi kata orang tua-tua memang banyak menekankan kepada "JANGAN." Bila apa yang kita nak buat, semuanya tidak boleh.... tidak boleh tidur, makan, sampaikan hendak pergi ke masjid pun ada pantang larangnya.

Momokan kepada perkara mistik sudah menjadi kebiasaan dalam kata orang tua-tua. Saya percaya bahawa orang tua-tua momokkan kita supaya kita tidak buat perkara-perkara yang membahayakan diri dan orang lain disamping menjaga maruah diri. Tetapi momokan ketakutan ini menyebabkan anak-anak percaya bahawa makhluk ghaib boleh memudaratkan kita... walhal Hanya Zat Yang Maha Kuasa sahaja dapat memberikan sebab musabab kepada makhluk lain memudaratkan kita.

Atas dasar ini, bangsa kita menjadi bangsa yang penakut, pemalu dan seterusnya tidak berdaya saing. Saya teringat lagi makcik saya yang ekstrem terhadap kata-kata orang tua ini sehinggakan semuanya nampak menakutkan, seperti dia sentiasa diperhatikan oleh roh-roh atau semangat-semangat jahat. Kepercayaannya sama seperti penganut animisme, yang percaya kepada kuasa alam sebagai tuhan... astaghfirullah.

Seharusnya kita perlu mengajar anak-anak secara terus-terang. Jangan main di waktu maghrib, kerana waktu itu syaitan berkeliaran dan dengan mudah menghasut jiwa-jiwa kita. Bawah ampaian itu berbahaya kerana dawai ampaian boleh mencederakan kita. Potong kuku di tempat terang, bukan di malam gelita... nanti terpotong jari skali.

Didiklah generasi kita menjadi lebih berani, lebih memahami cabaran dan berani menempuh hidup di dunia ini sebagai jambatan menuju kejayaan di akhirat. sekian, wasalam.

No comments: