Monday, March 10, 2008

Kota Melaka atau Kota Lama?

Alhamdulillah... Selesai sudah Pilihan Raya Umum ke 12... Diharap peperangan ideologi dan kempen yang dijalankan tidak berlarutan selepas pilihanraya. Apa yang pasti, aktiviti perniagaan dan kehidupan sehari-hari akan kembali tenang jika perang ideologi tidak berterusan. Maka, elakkanlah anda membuat perarakan saperti yang terjadi 39 tahun yang lalu...

Pertandingan satu lawan satu di Kota Melaka yang memang sengit laksana pertarungan antara Tuah dan Jebat di tapak bersejarah itu dalam versi moden dan berbangsa lain. Namun, yang tewas kali ni adalah Tuah, yang goyah apabila kempen parti tidak mendapat sambutan daripada rakyat Kota Melaka khususnya Bangsa Cina. Tetapi, apabila orang-orang Jebat memulakan langkah, berpuluh ribu kaum Cina membanjiri kawasan kempen, bersorak, penuh bersemangat sehingga menambahkan kerja rutin RELA menjaga jalanraya yang sempit di Bandar Hilir....

Kota Laksamana, bukan sekadar tewas, malah majoritinya juga bertambah daripada 3,642 pada 2004 kepada 7,242. Serikandi DAP itu juga semakin popular walaupun tiada kerja yang dilakukan. Dapat diperhatikan, kawasan bandar seperti Kesidang dan Ayer Keroh, majoriti Cina mengundi Pakatan DAP,PKR dan PAS... Lihat laporan Berita Harian INI.

Walaupun Barisan Nasional menang dalam pilihanraya kali ini di Melaka, UMNO Melaka diharap dapat melihat kembali analisis pilihanraya ini yang lebih buruk dari tahun 1999. Jika dilihat majoriti undi di kawasan Ketua Menteri sendiri, majoriti undi sudah berkurangan daripada 5,992 pada tahun 2004 kepada 2,708. Adakah kerana rakyat tidak berpuas hati dengan CM sehinggakan majoriti jatuh teruk. Di DUN lain, perkara yang sama berlaku. Ini bermakna, negeri seperti Melaka bukan lagi tempat untuk Barisan Nasional sentiasa menang. Pembangunan Pengajian Tinggi di Melaka meningkatkan daya berfikir di kalangan pengundi muda Melaka. Oleh yang demikian, bukanlah bermakna rakyat menolak kepimpinan BN apabila semakin ramai yang intelektual, tetapi rakyat melihat penyalahgunaan kuasa, pangkat dan wang ringgit dari sudut yang berbeza menyebabkan rakyat menolak partisan yang memerentah.

Hakikatnya, gejala rasuah, kegiatan tidak bermoral dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa di Negeri Melaka haruskah dihentikan serta merta. Oh, jangan mudah melatah dengan apa yang saya coretkan. Namun, sebagai anak jati Negeri Melaka, saya juga melihat dari sudut yang berbeza. Tindakan Datuk Ali memajukan Melaka adalah tindakan yang tepat dan membuka minda segenap lapisan masyarakat seperti program E-Melaka, E-Dagang, Satu DUN satu Produk dan banyak lagi untuk meningkatkan ekonomi Orang Melayu di Melaka. Namun, saya tujukan posting ini kepada ketua-ketua atau ahli-ahli jawatankuasa UMNO dan JKKK Melaka, tidak kira di bahagian ataupun di cawangan.

Yang paling mudah, Ketua-ketua masyarakat ini perlu berfikiran matang dan terbuka. Kerana, pihak sebelah mengambil peluang dari sikap ambil lewa pemimpin di peringkat kampung. JKKK tidak boleh menerima aduan sahaja, malah JKKK perlu untuk turun ke padang berjumpa dengan orang kampung, memberikan bantuan kepada yang hak, bukan yang kenal. Jika JKKK masih tidak sedar lagi kepentingan ini, maka mungkin kita akan dapat Majlis Syura Rakyat (MSR) di Melaka 5 tahun akan datang.

Ayuh bangunlah semua Ahli UMNO Negeri, kekalahan ini bukanlah kerana pengundi muda semata-mata. Cerminlah diri sendiri, betulkan semula perjuangan UMNO yang sebenar. Kerana berbuih sudah mulut Datuk Ali bercakap, tapi kenapa semua warga UMNO Melaka tidak paham-paham... memang tak paham.

No comments: